Peranan ultrasound dalam pemeriksaan saringan payudara Mamografi tidaklah semestinya tepat 100%. Ia hanya boleh mengesan 85% sahaja kanser payudara. Ketepatannya menurun apabila tisu payudara menjadi semakin padat. Kanser yang kecil boleh terlindung oleh tisu yang padat dan tidak dapat dilihat dalam mamogram. Wanita yang mempunyai payudara yang padat mengandungi kelenjar susu yang berlebihan berbanding dengan tisu lemak. Wanita yang putus haid yang diberi terapi hormon juga mempunyai tisu payudara yang padat. Kepadatan kelenjar payudara tiada kaitan dengan saiz, bentuk dan rupa payudara tersebut. Wanita yang tidak mempunyai tisu lemak yang banyak (yang mempunyai payudara yang padat) boleh mendapat faedah daripada pemeriksaan ultrasound di samping pemeriksaan mamogram. Sekarang ini, kaedah baru menggunakan ultrasound berfrekuensi tinggi telah dilaporkan dapat mengesan ketumbuhan yang kecil ataupun kalsifikasi pada payudara. Sungguhpun begitu, ia tidak boleh disarankan sebagai alat utama untuk mengesan kanser payudara. Ini adalah kerana ultrasound tidak dapat menunjukkan ciri-ciri keseluruhan tisu payudara, tidak dapat mengesan kalsifikasi yang kecil yang terdapat dalam kanser, dan ia amat bergantung kepada kebolehan pengguna mesin tersebut. Mamografi akan terus menjadi pilihan utama untuk pemeriksaan saringan bagi kanser payudara. Kombinasi mamografi dan ultrasound akan terbukti penting untuk menambah sensitiviti dalam mengesan kanser bagi payudara yang padat. Kajian masih lagi dijalankan mengenai faedah, risiko, kos, dan kesan jangka panjang terhadap hayat seseorang yang menjalani pemeriksaan saringan menggunakan ultrasound sahaja. Pada masa ini terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai pemeriksaan ultrasound tanpa mamografi, termasuk bagi payudara yang padat. |