 |
|
Pemeriksaan arteri ke bahagian bawah badan: Pelvic arteriogram |
 |
|
Pemeriksaan arteri ke otak:
Arteriogram Karotid Kiri |
Apakah itu
arteriografi?
Arteriografi adalah suatu pemeriksaan pembuluh darah arteri dengan menggunakan
X-ray selepas menyuntik medium kontras ke dalamnya melalui satu tiub berongga
dengan bentuk khas yang dikenali sebagai kateter. Arteri yang berisi medium
kontras kelihatan legap di bawah sinaran X-ray, dan ini akan menghasilkan suatu
bayang yang dapat diperolehi atas filem X-ray atau sebagai satu imej digital.
Arteri yang boleh diperiksa termasuk arteri anggota badan (dikenali sebagai
angiografi anggota atas dan bawah badan), arteri otak (angiografi karotid) dan
arteri yang lebih besar di dada dan abdomen, termasuk cabang-cabang mereka .
Arteriografi pembuluh jantung (angiografi koronari) biasanya dilakukan di
Malaysia oleh pakar kardiologi.
Mengapakan saya mungkin memerlukan arteriografi?
Arteriografi
akan dilakukan apabila sebarang keganjilan berhubungan dengan pembuluh darah
disyaki. Ini mungkin bagi diagnosis (contoh mencari punca pendarahan dalam
otak), untuk siasatan sebelum sesuatu pembedahan(contohnya dalam bakal penderma
ginjal) atau untuk prosedur intervensi terapeutik (seperti embolisasi malformasi
arteriovena). Arteriografi boleh dilakukan ke atas kebanyakan orang jika
diperlukan.
Apakah prosedur sebelum arteriogram dan apakah langkah berjaga
yang perlu dilakukan sebelum sebuah arteriogram?
Prosedur ini tidak disyorkan bagi pesakit yang mengalami masalah pendarahan.
Jika pemeriksaan ini sangat diperlukan bagi rawatan pesakit ini, maka masalah
pendarahan ini perlu dirawat dahulu sejauh boleh. Kadang kala, arteriogram
dilakukan untuk mencari punca pendarahan dalam badan.
Seperti sebarang prosedur intervensi yang lain, arteriografi juga
mempunyai risiko. Pihak doktor mesti mengetahui sejarah perubatan pesakit dengan
rapi. Kebenaran mesti didapati daripada pesakit sebelum arteriogram boleh
dilakukan.
Apakah persediaan yang diperlukan bagi sesuatu arteriogram?
Pesakit mungkin dimasukkan ke dalam hospital sehari sebelum pemeriksaan tersebut
ataupun seseorang boleh menjalani prosedur ini sebagai pesakit luar. Pesakit
mesti berpuasa malam sebelum prosedur. Walau bagaimanapun, jika pesakit sedang
mengambil sebarang ubat seperti untuk kencing manis atau tekanan darah tinggi,
dinasihatkan bahawa ubat tersebut dimakan dengan sedikit cecair. Terdapat juga
beberapa ubat yang perlu diberhentikan sebelum pemeriksaan. Pesakit
dinasihatkan memberitahu pihak doktor mengenai SEMUA ubat yang dimakannya.
Kawasan yang biasanya dicucuk bagi memasuki kateter, adalah groin (bahagian atas
peha), walaupun Pakar Radiologi mungkin boleh memilih lengan tangan atau ketiak.
Kulit di kawasan prosedur akan dijalankan akan dibersihkan dan dicukur dahulu.
Sebelum pemeriksaan,
satu sedatif yang lemah diberikan kepada pesakit demi mengurangkan kerisauannya
serta menolong pesakit tidur. Pesakit boleh mengantuk dan pesakit boleh tidur
semasa prosedur dijalankan.
Apa dan siapa terlibat dalam sesuatu arteriogram?
Beberapa orang akan hadir dalam bilik pemeriksaan dan mereka semua terlibat
dalam prosedur tersebut. Mereka termasuk Pakar Radiologi, seorang penolong, juru
radiografi/X-ray dan seorang jururawat. Selepas diletakkan pada meja X-ray,
cadar yang steril akan diletakkan di atas pesakit dan pesakit akan dinasihatkan
untuk menyimpan tangannya di bawah cadar. Pakar Radiologi akan memberitahu
pesakit perkara yang sedang berlangsung semasa prosedur tersebut.
Kawasan yang akan dicucuk akan dibersihkan. Sedikit anestetik
setempat akan diberi bagi mengebaskan kawasan tersebut dan ini mungkin sakit
pada permulaannya. Satu potongan kecil (4-6mm panjang) dibuat di kulit dan
sebilah jarum digunakan untuk menembus arteri. Melalui jarum ini, satu wayar
panduan (guidewire) akan dilalukan dan kemudian jarum ini dikeluarkan. Satu
keteter kemudian dimasukkan menyarungi wayar panduan ini dan dimasukkan ke dalam
arteri. Pakar Radiologi kemudian akan menghalakan kateter ke dalam arteri untuk
pemeriksaan. Pada masa ini, lampu bilik boleh dimalapkan demi menolong Pakar
Radiologi melihat monitor dengan lebih baik. Pergerakan kateter melalui arteri
tidak patut dirasai. Medium kontras kemudian akan disuntikkan dan imej (X-ray)
diambil. Setelah semua imej yang diperlukan sudah diperoleh, kateter dikeluarkan
dan doktor akan menekan kawasan jarum dicucuk bagi sepuluh minit sehingga
pendarahan berhenti.
Semasa pemeriksaan, anda mungkin akan berasa sensasi hangat
semasa medium kontras disuntik atau sedikit perasaan tidak selesa pada kawasan
jarum dicucuk apabila doktor memanipulasi keteter.
Apa yang akan berlaku selepas prosedur?
Anda akan dibawa balik ke bilik anda. Adalah dinasihatkan bahawa si pesakit
tidak cuba menggerakkan bahagian bawah badan atau kakinya bagi masa 8 hingga 12
jam bagi mengelakkan gumpalan darah pada tempat jarum dicucuk terkeluar. Pihak
doktor atau jururawat akan sering memeriksakan tempat pemeriksaan demi
memastikan pendarahan di bawah kawalan serta memeriksa bagi sebarang kesan
sampingan, jika ada. Jururawat ataupun orang yang menjaga si pesakit perlu
diberitahu jika si pesakit berasa kawasan groin bengkak atau pendarahan
keterlaluan berlaku.
Apakah masalah yang mungkin timbul akibat prosedur ini?
Seseorang mungkin boleh mengalami hematoma pada kawasan jarum dicucuk jika
pendarahan tidak dikawal. Pesakit juga boleh berkencing lebih akibat medium
kontras yang disuntik. Walau bagaimanapun, masalah kurang berlaku kerana Pakar
Radiologi yang terlibat dalam prosedur ini terlatih untuk menjalankan prosedur
ini dengan rapi.
Jika keadaannya stabil, pesakit akan dibenarkan pulang pada
keesokan hari.
Nota:
Hari ini arteriogram dijalankan sebagai prosedur diagnostik
dan terapeutik (radiologi intervensi). Ada juga prosedur dijalankan di
bawah anestesia umum (ubat bius umum) dan memerlukan seorang Pakar Anestesia
(Pakar Bius).
|